Merai Langkah, Menyemai Harapan: KanWork Ke-20 Tahun
Sempena ulang tahun KanWork yang ke-20, kami meraikan bukan sekadar usia, tetapi semangat hidup.
Program Berjalan Bersama KanWork (20,000 Langkah) dilancarkan untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat yang
berpanjangan.Dari 15 Jun sehingga 30 September 2025, seramai 120 peserta telah menyahut seruan ini. Setiap peserta telah melakar tekad, berjalan mengikut kemampuan masing-masing, tetapi dengan satu matlamat yang sama, kekal sihat.Sebagai penghormatan kepada ketabahan luar biasa, KanWork memberikan pengiktirafan khas kepada mereka yang melangkah paling jauh, terutamanya dalam kategori survivor — lambang perjuangan yang telah ditempuhi.
Puan Rozila Abdul Samat (Kategori Survivor Kanser Payudara), dengan jumlah langkah terkumpul yang mengagumkan: 843,536 langkah! Dr. Hasidah Mohd Sidek (Kategori Bukan Survivor), yang turut menunjukkan keazaman luar biasa dengan 628,511 langkah dicatatkan.Jumlah ini bukan sekadar angka, ia adalah bukti komitmen harian untuk kekal sihat. Apabila ditanya mengenai rahsia di sebalik kejayaan mereka, jawapan mereka adalah cetusan semangat yang menyentuh hati.
“Saya berjalan untuk kesihatan dan lebih semangat berbanding aktiviti lain,” kata Puan Rozila Abdul Samat. Bagi beliau, setiap langkah adalah untuk kekal sihat dalam menjalani kehidupan pasca-kanser dengan penuh tenaga dan harapan.
“Berjalan adalah rutin harian sebagai inspirasi kepada mereka yang diduga dengan masalah kesihatan/keupayaan fizikal seperti saya, kerana saya pernah menjalani pembedahan gantian pinggul (‘hip replacement’) pada tahun 2020,” kongsi Dr. Hasidah Mohd Sidek. Beliau membuktikan, walaupun dilanda cabaran fizikal, kita boleh bangkit dan bergerak.
Mereka ini membuktikan bahawa, jika mempunyai semangat, kita akan melangkah ke mana sahaja. 20,000 langkah? Itu baru permulaan.
 
 
 
 
 
 
Scroll to Top